Satu kejutan berlaku membabitkan Bahrain yang dikejutkan dengan kekalahan di tangan negara di ranking ke-202 dunia.
Bahrain yang kini menduduki tangga ke-90 dunia mengatur aksi persahabatan bertemu negara di ranking ke-202 dunia, Somalia di Stadium Nasional Manama pada Isnin lalu.
Turun sebagai pasukan pilihan, Bahrain tetap menampilkan barisan terbaik yang dimiliki diketuai oleh Ebrahim Lutfalla, Ali Madan dan Mohammad Marhoon beraksi di posisi sayap.
Gawang Somalia dibolosi terlebih dahulu pada minit ke-35 menerusi jaringan Mohamed Al Romaihi untuk meletakkan Bahrain di hadapan selepas menyudahkan peluang terbaik yang dimiliki.
Kelebihan itu tidak bertahan lama selepas Somalia bangkit meledak gol penyamaan sebelum babak pertama berakhir hasil jaringan Mohamed Omar sekaligus mengejutkan tuan rumah.
Pemain gantian, Issa Adim muncul wira buat Somalia hasil jaringan kemenangan yang berjaya disumbang pada minit ke-80 selepas mudah menampan bola ke gawang Bahrain yang kosong.
Kemenangan 2-1 memihak Somalia sekaligus memberikan tambahan sebanyak +8.48 mata ranking buat Ocean Stars dan naik ke tangga ke-200 dunia berdasarkan carta masa-nyata.
Sementara Bahrain yang kalah kali ke-8 dalam 9 perlawanan terakhir, jatuh satu anak tangga ke kedudukan 91 dunia hasil tinjauan prestasi tak konsisten dan peningkatan negara lain.