Negeri Sembilan Atur Taktik Berbeza Hadapi Melaka
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Negeri Sembilan FC membuat perubahan taktikal menjelang aksi Liga Super menentang Melaka FC.

Perkara ini didedahkan kapten pasukan itu, Khuzaimi Piee. Beliau memaklumkan perubahan tersebut dibuat dengan mengambil kira keputusan beberapa perlawanan sebelumnya.

Khuzaimi percaya perubahan taktikal yang direncana jurulatih, Nidzam Jamil mampu membantu Sang Rusa meraih keputusan positif.

“Kita sebagai pemain ada perubahan taktikal dan sesuatu yang berbeza untuk pasukan. Untuk kita perbaiki segala kesilapan dalam perlawanan-perlawanan lepas.

“Dan saya rasa semua pemain bagi yang terbaik semasa latihan. Insya Allah, kita akan cuba persembahkan dalam perlawanan (menentang Melaka) nanti,” katanya kepada Nadi Arena.

Negeri Sembilan berharap dapat merasai kemenangan buat kali pertama dalam liga sejak 25 Oktober lalu. Tarikh tersebut menyaksikan Sang Rusa menewaskan PDRM FC 2-0.

Sentuhan bekas penyerang Malaysia B-23, Luqman Hakim Shamsudin dijangka ditagih Negeri Sembilan. Ini selepas beliau meraih gol sulungnya ketika menentang Terengganu FC pada 22 November lalu.