Negeri Sembilan Julang Trofi Piala Serumpun, Kalahkan Semen Padang
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Negeri Sembilan FC meraih tonik semangat menjelang musim 2025/26 apabila menjulang trofi Piala Serumpun.

Kejayaan itu dicapai anak buah Nidzam Jamil dengan menewaskan kelab Super League, Semen Padang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

View this post on Instagram

A post shared by Negeri Sembilan Football Club (@nsfc1923)

Aksi ini dilihat peluang buat kedua-dua pasukan memantapkan keserasian barisan pemain mereka sebelum musim 2025/26 bermula.

Negeri Sembilan menurunkan lima tonggak import termasuk Alex Agyarkwa dan penyerang baru dari Ghana, Joseph Esso. Bekas tonggak import Dewa United dari Portugal, Angelo Meneses mengetuai benteng Kabau Sireh.

Separuh masa pertama menyaksikan Sang Rusa berusaha merobek gawang Semen Padang menerusi Esso, Takumi Sasaki, A. Selvan dan Jovan Motika.

Ini memaksa penjaga gol Brazil, Arthur Augusto bekerja keras menafikan setiap percubaan yang direncana tuan rumah.

Gawang Kabau Sireh akhirnya bocor pada minit ke-13 menerusi pemain pertahanan, Zainal Abidin Jamil. Zainal menewaskan Augusto menerusi satu rembatan dari dalam kotak penalti.

Gawang pelawat bocor lagi buat kali kedua pada minit ke-34. Kesilapan pertahanan Semen Padang pantas dimanfaatkan Esso untuk menewaskan Augusto.

Ketajaman jentera serangan Sang Rusa memastikan pasukan itu mendahului 2-0 sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, kedua-dua pasukan membuat pertukaran bagi membolehkan pemain-pemain lain mendapat minit permainan.

Semen Padang yang dibimbing bekas pengendali Melaka United FC, Eduardo Almeida berusaha merapatkan defisit gol tetapi tidak berhasil.

Sebaliknya, Negeri Sembilan menambah gol ketiga menerusi pemain gantian, N. Javabilaarivin pada minit ke-82. Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan anak buah Nidzam kekal tanpa kalah dalam semua aksi pra-musim mereka setakat ini. Selepas ini, Sang Rusa akan menentang Tanjong Pagar United pada 28 Julai.