“Negeri Sembilan Pasukan Berbeza Musim Ini” – Zaquan Adha
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Bekas penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak menyifatkan skuad Negeri Sembilan FC kali ini cukup berbeza.

Ini kerana pasukan yang dibimbing Nidzam Jamil itu dilihat mampu memberi cabaran kepada pasukan lain. Ini termasuk juara Liga Super 11 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Zaquan percaya dengan kehadiran ramai pemain berkualiti dan Nidzam sebagai jurulatih, Sang Rusa mampu mencabar kedudukan tiga pasukan teratas liga.

“Kita tahu pasukan Negeri Sembilan antara pasukan yang kita sasar berada dalam kedudukan tiga teratas masa ini. Di mana dari segi persiapan, pemain yang mereka ambil dan paling penting, jurulatih Nidzam Jamil.

“Kita tahu Coach Nidzam Jamil memiliki pengalaman luas dalam liga kita. Dan beliau juga membuktikan dengan taktikal yang beliau gunakan bersama pasukan sebelum ini (Selangor FC) membuahkan hasil,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.

Negeri Sembilan terus menunjukkan persembahan mantap apabila membelasah PDRM FC 5-0 dalam aksi pertama pusingan 16 Piala FA. Jovan Motika, Joseph Esso dan Mio Tsuneyasu mencetak nama sebagai penjaring.

Kini, Negeri Sembilan mengalihkan fokus kepada aksi Liga Super. Sang Rusa dijadual bertemu Selangor di Paroi pada 24 Ogos.