Negeri Sembilan merekrut pemain kacukan Malaysia-England-Gambia, Anuar Ceesay.
Memasuki jendela perpindahan kedua Liga Super musim ini, Negeri Sembilan mengambil langkah awal dengan merekrut bintang UM-Damansara United bagi memperkuatkan pasukan The Jangs.
Kehadiran Anuar Ceesay dibuat susulan kehilangan khidmat Alex Agyarkwa yang dipanggil semula oleh Selangor bagi menghadapi pusingan kedua Liga Super musim ini.
Kemasukan pemain kacukan itu dijangka mampu menambah ketajaman dan variasi di bahagian serangan Negeri Sembilan.
Nama Anuar Ceesay mula menjadi bualan peminat bola sepak tanah air selepas beliau tampil cemerlang dengan meledak dua gol ketika menentang Harimau Selatan dalam aksi kedua pusingan 16 Piala FA musim ini.
UM-Damansara United mengesahkan perpindahan pemain berkenaan ke Negeri Sembilan, sambil menyatakan rasa bangga kerana pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan karier Anuar Ceesay.
“UM-Damansara telah mencapai persetujuan dengan Negeri Sembilan untuk pemindahan Anuar Ceesay dengan bayaran yang tidak didedahkan.”
“Kami tahu Anuar akan menjadi bintang dalam kancah bola sepak Malaysia dan kami gembira menjadi sebahagian daripada perjalanannya,” kata UM-Damansara dalam satu kenyataan di laman media sosial.
Anuar Ceesay dijangka melakukan penampilan pertama bersama Negeri Sembilan ialah ketika aksi bertemu JDT pada 9 Januari depan dalam saingan Liga Super 2025/26.