Pemain import Negeri Sembilan, Mio Tsuneyasu, kekal bersama kelab berkenaan sehingga tamat saingan Liga Super 2025–2026.
Beliau menyertai The Jangs pada awal musim ini secara pinjaman daripada kelab J3 Jepun, Gainare Tottori.
Kehadiran Mio Tsuneyasu dalam pasukan Negeri Sembilan tampak memberikan impak positif.
Beliau berjaya mencatatkan empat gol dan satu bantuan jaringan dalam 14 penampilan Liga Super dan Piala FA, meskipun kerap dimasukkan sebagai pemain gantian.
Menurut Negeri Sembilan, Mio Tsuneyasu akan kekal bersama pasukan itu selepas tempoh pinjamannya bersama The Jangs dipanjangkan.
“Mio Tsuneyasu akan terus berbakti di Tanah Adat selepas tempoh pinjamannya dilanjutkan sehingga penghujung musim 2025/2026 daripada kelab J3 Jepun, Gainare Tottori,” kata Negeri Sembilan dalam satu hantaran di laman media sosial.
Tambah Mio Tsuneyasu, beliau berjaya mencapai kesepakatan bersama pasukan Negeri Sembilan dan bakal membantu The Jangs meraih lebih banyak kejayaan.
“Kami telah berjaya mencapai persetujuan, dan saya akan kekal bersama The Jangs sehingga penghujung musim. Saya juga ingin membantu kelab mencapai sasaran yang lebih baik berbanding sekarang. Itu adalah sasaran saya,” kata Mio Tsuneyasu selepas memanjangkan tempoh pinjaman bersama kelab Negeri Sembilan.
Mio Tsuneyasu dan Negeri Sembilan bakal meneruskan aksi dalam saingan Liga Super 2025–2026 dengan menentang pasukan KL City pada 20 Disember ini di halaman sendiri.