Nepal Enggan Ulang Silap Sama Bertemu Malaysia
MakanBola
ANFA

Kesilapan yang berlaku ketika bertemu Malaysia sebelum ini akan menjadi pengajaran terbaik buat Nepal menurut kapten pasukan Kiran Kumar Limbu menjelang perlawanan penting esok.

Malaysia dan Nepal akan bertemu dalam aksi ke-5 Kelayakan Piala Asia 2027 dengan kedua-dua pasukan ketika ini sedang membuat persiapan akhir sebelum turun beraksi di Bukit Jalil esok.

Kali terakhir kedua-dua pasukan ini bertemu adalah pada 26 Mac yang lalu dalam aksi pembukaan kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim yang menyaksikan Harimau Malaya menang 2-0.

Pemain warisan Malaysia-Belanda, Hector Hevel dan Corbin Ong muncul wira skuad kebangsaan apabila masing-masing meledak satu gol bagi memberikan 3 mata sulung buat anak didik Peter Cklamovski.

Bercakap mengenai perlawanan tersebut, Kiran Kumar Limbu yang beraksi sebagai penjaga gol ketika itu merasakan Nepal sudah memberikan aksi terbaik namun kesilapan mudah beri Malaysia peluang cipta jaringan.

“Berdasarkan pengalaman saya, pada aksi yang lalu, kami rasa permainan kami baik tetapi ada beberapa kesilapan yang kami lakukan. Sebab itulah kami dihukum,” kata beliau ketika sidang media praperlawanan.

“Kami bolos dua gol, satu (daripadanya) jaringan sendiri dan satu lagi kerana kami agak leka ketika situasi bola mati. Kali ini kami membuat persiapan yang lebih rapi. Kami tidak akan ulang kesilapan yang sama.”

Walaupun Malaysia bakal turun tanpa 7 pemain warisan kali ini, namun kapten Nepal ini tegaskan para pemain tempatan juga memiliki kualiti tersendiri menjelang perlawanan pada Selasa nanti.

“Seperti yang anda katakan, kali terakhir Malaysia memiliki 7 pemain warisan dan mereka lebih kuat, tetapi tanpa mereka sekalipun, saya rasa pemain tempatan tetap berkualiti.”

”Mereka (Malaysia) pasukan yang kuat dan mereka beraksi dalam liga tempatan yang berkualiti,” tegas Kiran Kumar Limbu.

Saya menghormati semua pemain tetapi akhirnya, kami mesti bersedia dan seperti yang saya katakan tadi, kami tidak akan ulang kesilapan yang sama seperti sebelum ini.”

Aksi Nepal vs Malaysia dijadualkan berlangsung pada Selasa, 18 November hadapan di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan sepak mula tepat jam 9 malam.