Netizen Indonesia Tuduh Malaysia Tipu Umur Aysar Hadi
MakanBola
Malaysia NT

Nama pemain pertahanan Malaysia B-23, Aysar Hadi Mohd Shapri mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat bola sepak Indonesia.

Ini kerana sesetengah penyokong Indonesia mendakwa bek tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) II itu menipu umur sebenarnya.

Dakwaan ini berlegar di ruang komen halaman Galeri Sepakbola Indonesia Online – GSIO ketika aksi Piala Mandiri ASEAN B-23 antara Malaysia dan Indonesia.

Mereka mendakwa dengan imej bermisai yang ditampilkan, Aysar Hadi kelihatan lebih tua daripada usia sebenarnya iaitu 21 tahun.

Seorang peminat Indonesia bernama Haji Abayy mendakwa kapten JDT II itu sebenarnya berusia sekitar 27 hingga 30 tahun.

“Ini mahu sudah (sampai usia orang matang), umur 27 atau 30 tahun,” katanya di ruang komen.

Seorang peminat wanita Indonesia bernama Kavita pula mendakwa Aysar sebenarnya berusia 40 tahun. “Tua sangat, mukanya macam orang berusia 40 tahun,” ujarnya.

Ini bukan kali pertama Aysar dikatakan lebih berusia daripada umur sebenarnya. Tiga tahun sebelumnya, dakwaan sama ditimbulkan penyokong Laos terhadap beliau.

Tuduhan itu timbul apabila Aysar memimpin skuad Malaysia B-19 meraih Kejuaraan ASEAN B-19 2022. Kejayaan itu dicapai dengan menewaskan Laos di peringkat akhir.

Beliau turut dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan selepas tampil cemerlang sepanjang kejohanan itu.