Lagenda bola sepak Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha yakin pengendali Negeri Sembilan FC, Nidzam Jamil bertuah pada musim 2025/26.
Jurulatih muda itu kembali ke kancah Liga Super musim ini selepas meninggalkan Selangor FC pada pertengahan musim lalu.
Menurut pemerhatian Matyo, skuad Jang musim ini memiliki beberapa pemain berkualiti di bangku simpanan yang setara dengan kualiti pemain utama termasuklah Mio.
“Pada saya, Mio (Tsuneyasu) ini merupakan tonggak super-sub Negeri Sembilan musim ini.
“Beliau telah membuktikan bahawa beliau layak untuk berada dalam skuad Negeri Sembilan menerusi kebolehannya untuk menjaringkan gol,” katanya.
Beliau juga yakin Nidzam Jamil memiliki barisan pemain berkualiti yang boleh membantu pasukan meraih mata berharga sehingga penghujung permainan.
“Kita tahu pemain seperti Jovan Motika, Joseph Esso, Takumi dan juga A. Selva gemar melakukan serangan balas pantas.
“Jurulatih, Nidzam (Jamil) bertuah kerana mempunyai pemain seperti Mio dan Hadin di bangku simpanan. Pada minit ke-60 ke atas, pemain seperti ini memiliki kebolehan untuk masuk dan menjaringkan gol buat pasukan,” katanya kepada Astro Arena.
Negeri Sembilan kini menghuni tangga keenam Liga Super selepas Hari Perlawanan 4 selepas mengumpul 4 mata – 8 mata terpisah dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (12 mata).