Nidzam Jamil & Peminat Bertengkar, Ini Respon CEO Negeri Sembilan
MakanBola
Negeri Sembilan FC

CEO Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus memberi maklum balas berhubung insiden pertelagahan antara jurulatih pasukan, Nidzam Jamil dan penyokong pada 6 Disember lalu.

Pertelagahan ini berlaku selepas aksi Liga Super antara Melaka FC dan Negeri Sembilan FC di Stadium Hang Jebat.

Negeri Sembilan terpaksa menelan kepahitan apabila tewas 2-0 kepada tuan rumah. Juan Douglas mencetak dua gol buat Melaka.

Selepas perlawanan, pertengkaran tercetus antara kumpulan penyokong Sang Rusa dan Nidzam. Bekas jurulatih Selangor FC itu kemudiannya ditenangkan beberapa staf kejurulatihan dan pemain.

Video insiden tersebut dimuat naik oleh UltraJang. “Kekecohan di Stadium Hang Jebat sebentar tadi. Kelihatan ada ketegangan di antara Nidzam Jamil dan penyokong Negeri Sembilan. Apa sudah jadi?” katanya.

Apabila diminta mengulas insiden tersebut, Faliq memaklumkan perkara ini boleh dielak menerusi pengurusan emosi yang lebih baik.

Beliau turut melihat kekalahan ini sebagai petanda buat Negeri Sembilan untuk segera bangkit jika ingin memburu kedudukan lebih baik dalam liga.

“Telinga nipis. Kita perlukan pengurusan emosi yang lebih baik. Kita kena bangkit, tiada keraguan,” katanya di X.

“Tiada alasan untuk kekalahan ini (di tangan Melaka). Kita semua tahu tentang perkara itu.”

Keputusan ini menyaksikan Negeri Sembilan kekal di tangga keenam liga dengan 13 mata.