Nilai pasaran tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi mencatatkan peningkatan yang cukup memberangsangkan.
Tonggak berusia 23 tahun itu menjadi sandaran utama skuad Harimau Selatan sejak empat musim terakhir.
Beliau kini terus membina reputasi hebat terutamanya untuk membantu JDT kekal mendahului carta saingan Liga Super dengan lapan kemenangan bersih setakat ini.
Arif turut cemerlang dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) dan juga ACC Shopee Cup 2025-26 selaku tonggak utama skuad kendalian Xisco Munoz selepas tiga perlawanan.
Berdasarkan kemas kini laman Transfermarkt, nilai pasaran Arif Aiman kini mencecah 650,000 Euro (RM3.2 Juta) dan menjadi antara pemain Malaysia paling bernilai.
Nilai ini meningkat sekitar 200,000 Euro (RM980,000) daripada kemas kini Mei 2023 seiring dengan peningkatan prestasi pemain lincah Harimau Malaya ini.
Kedudukan ini menyaksikan saham Arif muncul pemain kedua termahal Harimau Malaya dalam skuad semasa menentang Laos, hanya di belakang kapten pasukan, Dion Cools (RM4.9 Juta).
Pemain sayap lincah ini merekodkan 17 penglibatan jaringan dalam hanya 10 penampilan Liga Super musim ini termasuklah membantu skuad kebangsaan melakar dua kemenangan ke atas Laos pada aksi ketiga dan keempat Kelayakan Piala Asia 2027.
Beliau juga baru-baru ini tersenarai selaku tiga pemain terbaik pada peringkat Asia oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Sebagai rekod, Arif yang juga berperanan selaku kapten JDT mencatatkan empat gol dan tiga bantuan jaringan dalam lima aksi terakhir.