Bekas penyerang kebangsaan, Nizaruddin Yusof menjangkakan Romel Morales sebagai sandaran gol utama skuad negara menjelang dua aksi menentang Laos.
Ketiadaan tujuh pemain warisan negara membuka ruang buat penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu untuk mengetuai jentera serangan Harimau Malaya.
Nizaruddin percaya dengan prestasi semasa yang dimilikinya, Morales mampu merobek gawang tuan rumah.
“Untuk saya dari segi prestasi permainan, saya percaya Romel Morales boleh melakukan perkara itu untuk skuad kebangsaan.
“Saya tahu juga kelajuan di peringkat kelab dan antarabangsa tak sama. Dan kita bermain di Laos terlebih dahulu.
“Saya lihat Romel Morales boleh adaptasi dengan permainan dia dalam Liga Super untuk dibawa dalam perlawanan menentang Laos nanti,” katanya kepada Nadi Arena.
Selain Morales, Nizaruddin percaya kehadiran penyerang Kuching City FC, Jordan Mintah mampu memberi alternatif kepada jentera serangan Harimau Malaya.
Bekas pemenang Piala Malaysia 2002 itu melihat Mintah mahu memanfaatkan peluang beraksi memandangkan ini kali pertama beliau bersama skuad negara.
“Jika dia tak berapa menjadi, kita boleh letakkan Jordan Mintah pada separuh masa kedua untuk menggalas tanggungjawab. Kita tahu panggilan pertama untuk Jordan Mintah.
“Saya percaya dia tak sabar beraksi untuk skuad kebangsaan dan dia akan membuktikan sesuatu mengapa dia layak bermain dalam skuad kebangsaan,” ujarnya.
Kelibat Morales dan Mintah bakal ditagih Peter Cklamovski untuk aksi ketiga kelayakan Piala Asia 2027 di Vientiane pada 9 Oktober ini.