Ong Kim Swee Idam Sabah Kejutkan JDT
MakanBola
Sabah FC

Bekas jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee ingin melihat pasukan lamanya itu mencipta kejutan ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas final Piala FA.

Keinginan itu dizahirkan Kim Swee kerana pada hematnya, ini peluang anak buah Jean-Paul de Marigny mencipta sejarah buat Negeri Di Bawah Bayu itu.

Bekas pengendali Persik Kediri cukup masak dengan situasi itu kerana pernah menjadi sebahagian daripada skuad Sabah yang bergelar juara pada 1995.

“Ya, itu satu suasana yang cukup berbeza ya. Kalau kita bermain di perlawanan akhir, kita berpeluang mencipta sejarah. Pada masa sama, bukan setiap pemain dapat beraksi dalam perlawanan akhir.

“Apabila kita menjadi juara, itu menjadi lebih manis di mana bukan saja para pemain dan pegawai tetapi seluruh negeri Sabah berpesta. Jadi, ini satu perkara yang sukar dilupakan.

“Dan saya harap Sabah mampu melakar kejutan (ke atas JDT) dan mendapatkan keputusan yang positif (di peringkat final),” katanya.

Sabah mara ke final selepas menyingkirkan Selangor FC menerusi penentuan sepakan penalti. Kejayaan itu menyaksikan mereka mara ke final buat kali pertama sejak 1998.

Final ini juga dilihat peluang buat anak buah de Marigny menebus kehampaan final edisi tersebut. Ini kerana final 1998 menyaksikan Sabah kecundang 1-0 di tangan Johor.