Bekas jurulatih Persik Kediri dan Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee bakal menerima cabaran baharu di Malaysia.
Suatu pengumuman mengejut dibuat oleh Persik Kediri pada Khamis apabila memaklumkan perpisahan bersama jurulatih, Ong Kim Swee selepas 5 bulan membimbing kelab Indonesia itu.
”Persik Kediri rasmi berpisah dengan ketua jurulatih, Ong Kim Swee. Perlawanan petang ini (Khamis) menjadi aksi terakhir Macan Putih yang dibimbingnya musim ini,” ujar Persik Kediri.
Masa hadapan Ong Kim Swee lantas menjadi perhatian ramai khususnya selepas pihak Persik Kediri mengumumkan beliau bakal kembali ke Malaysia untuk menyahut peluang baru di sini.
Malah, faktor keluarga juga menjadi pertimbangan Ong Kim Swee dalam membuat keputusan besar bagi meninggalkan Persik Kediri selepas bersama hanya untuk beberapa bulan sahaja.
“Rasmi berpisah dengan Persik Kediri, Coach Ong Kim Swee bakal meneruskan kerjaya beliau dengan peluang baharu di Malaysia sambil mempertimbangkan faktor keluarga dalam keputusan tersebut,” umum kelab Indonesia itu.
Walau bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai destinasi baharu Ong Kim Swee selepas ini tidak diumumkan tatkala jurulatih berusia 50 tahun itu pernah menafikan ura-ura ke Terengganu.
Untuk rekod, Ong Kim Swee pernah melatih beberapa kelab di Malaysia antaranya Melaka, Harimau Muda A serta Sabah selain turut berpengalaman membimbing pasukan B-23 dan skuad senior Harimau Malaya.