Padang Stadium Darul Makmur Terima Sijil FIFA
MakanBola
PSDM

Padang Stadium Darul Makmur diiktiraf sebagai padang asli pertama di Malaysia yang mendapat sijil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Perkara ini dikongsikan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Kamal hari ini.

Beliau memaklumkan padang Stadium Darul Makmur telah mendapat markah 93% hasil penilaian yang dibuat perunding bertauliah FIFA, Acousto-Scan Pty Ltd. pada 23 dan 24 April 2025.

“Padang Stadium Darul Makmur kini diiktiraf sebagai padang rumput asli pertama di Malaysia yang menerima pensijilan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menerusi Program Kualiti FIFA Permukaan Padang Semulajadi.

“Lebih membanggakan, padang Stadium Darul Makmur berjaya meraih penarafan cemerlang dengan markah 93% menerusi penilaian penuh oleh konsultan bertauliah FIFA, Acousto-Scan Pty Ltd. pada 23 dan 24 April 2025,” katanya dalam satu kenyataan.

Fadzli turut melihat pencapaian ini sebagai satu pengiktirafan kepada kerajaan negeri Pahang. Ini kerana ini menunjukkan keupayaan kerajaan negeri membangunkan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa.

Padang baharu Stadium Darul Makmur bukan saja bakal mengurangkan risiko kecederaan kepada pemain.

Malah, ini membuka peluang buat Sri Pahang menjadi tuan rumah perlawanan bertaraf antarabangsa termasuk perlawanan membabitkan Harimau Malaya.