Proses pemulihan kecederaan pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi mendapat sentuhan pakar bedah yang pernah merawat bintang PSG, Ousmane Dembele.
Perkara ini dikongsikan pengurusan JDT menerusi satu kenyataan di platform Johor Southern Tigers berhubung perkembangan terbaru pemain sayap berusia 23 tahun itu.
Pengurusan Harimau Selatan memaklumkan Arif Aiman menjalani pembedahan di bahagian hamstring di Finland. Pakar bedah yang merawat beliau ialah pakar bedah terkenal, Lempainen Lasse.
Pakar bedah ortopedik itu cukup dikenali kerana membantu proses pemulihan ramai pemain terkenal termasuk Dembele.
Selain pemenang Ballon d’Or itu, Lasse turut membantu pemulihan bekas kapten Wolves, Ruben Neves, kapten Chelsea, Reece James dan pemain pertahanan Barcelona, Ronald Araujo.
Pengurusan JDT turut memaklumkan pembedahan Arif Aiman berlangsung dengan jayanya. Ini diharap dapat membantu proses pemulihan kecederaan beliau.
Arif Aiman mengalami kecederaan tersebut semasa aksi menentang Laos untuk skuad Harimau Malaya. Beliau hanya sempat beraksi selama sembilan minit sebelum dikeluarkan pada babak pertama.