Palestin Tetap Hormati Malaysia
MakanBola
Palestine FA

Meskipun beraksi tanpa tiga tonggak, Palestin tidak akan memandang rendah keupayaan cabaran Malaysia menjelang aksi persahabatan pada 8 September.

Hal ini digariskan oleh jurulatih, Ehab Abu Jazar apabila ditanya tentang keupayaan anak buah Peter Cklamovski itu.

Sebelum ini, Harimau Malaya terpaksa melupakan khidmat Dion Cools, Faisal Halim dan Facundo Garces menjelang aksi berkenaan.

Cools dan Garces telah berangkat pulang ke Jepun dan Sepanyol untuk menyertai pasukan masing-masing.

Khidmat Faisal pula terpaksa dilupakan Cklamovski dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk sedikit kecederaan pada bahagian lutut.

Meskipun Malaysia tempang tanpa tiga tonggak, Ehab percaya barisan pemain yang sedia ada mampu memberi cabaran kepada barisan anak buahnya.

“Malaysia ialah satu pasukan yang kuat. Kita tahu mereka bermain dengan bagus dan sangat kuat,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan.

“Sudah tentu mereka kehilangan beberapa pemain, dua atau tiga pemain menjelang perlawanan esok. Tetapi kami akan tetap bersedia untuk perlawanan itu.”

Palestin berharap dapat mengekalkan rekod baik ke atas Harimau Malaya menjelang aksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 8 September.