Pemain Nepal memberikan pandangan jujur terhadap kekuatan Malaysia tanpa tujuh pemain warisan.
Harimau Malaya bakal menghadapi tentangan pasukan ke-180 dunia, Nepal tanpa tujuh pemain warisan negara tatkala kes membabitkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) masih berlangsung.
Malaysia kini menduduki tangga teratas Kumpulan F dengan 12 mata selain memiliki rekod cemerlang apabila telah menewaskan Nepal pada aksi pertama kumpulan di Stadium Sultan Ibrahim dengan keputusan 2-0.
Pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski telah memanggil seramai 27 pemain dengan gabungan pemain muda dan berpengalaman bagi menghadapi tentangan skuad kendalian Hari Khadka.
Kapten pasukan, Kiran Kumar Limbu berpendapat bahawa Malaysia tetap merupakan salah satu pasukan terbaik di Asia Tenggara sungguhpun tanpa tujuh pemain warisan.
Penjaga gol berpengalaman ini bagaimanapun mahu memastikan pasukannya tidak mengulangi kesilapan sama ketika bertemu Harimau Malaya pada Mac.
“Fokus kami adalah untuk mempersiapkan pasukan menjelang aksi esok.
“Kami sedar bahawa pada pertemuan lalu, pemain ada melakukan kesilapan dan kami tidak mahu mengulanginya lagi,” ujarnya ketika sesi sidang media pra-perlawanan.
Beliau melihat bahawa Harimau Malaya masih memiliki pemain tempatan berbakat yang bakal memberikan aksi terbaik di laman sendiri, esok.
“Saya boleh katakan yang Malaysia memiliki barisan pemain dengan kualiti individu. Mereka beraksi dalam liga yang lebih baik berbanding pemain kami (Nepal).
“Sungguhpun sebelum ini Malaysia tampil dengan 7 pemain warisan, skuad kali ini tidak kurang hebatnya,” tambahnya lagi.
Aksi antara Malaysia vs Nepal dijadual pada Selasa, 18 November 2025 jam 9.00 malam di Stadium Nasional, Bukit Jalil.