Hasrat Sweden untuk layak ke Piala Dunia 2026 semakin kelam apabila pasukan Scandinavia itu tewas kepada pasukan ke-91 dunia, Kosovo.
Selepas tewas kepada Switzerland 1-0 pada 11 Oktober lalu, pasukan yang dibimbing legenda Denmark, Jon Dahl Tomasson perlu menewaskan Kosovo untuk menghidupkan peluang mereka layak.
Kosovo yang dibimbing Franco Foda pula berharap dapat mengulangi kejutan ke atas lawan sama yang dilakar pada 9 September.
Kelebihan dilihat memihak kepada Sweden kerana menurunkan ramai bintang ternama seperti Viktor Gyokeres, Alexander Isak, Victor Lindelof dan Yasin Ayari.
Kosovo bukan saja tidak gentar dengan barisan pemain yang dipilih Tomasson. Malah, mereka meraih gol pendahuluan pada babak pertama menerusi penyerang Hoffenheim, Fisnik Asllani.
Sweden yang tersentak cuba bangkit mendapatkan gol penyamaan. Walau bagaimanapun, keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Sweden terus memberi tekanan ke atas gawang Kosovo yang dikawal bekas penjaga gol Burnley, Arijanet Muric.
Kecekapan penjaga gol berusia 26 tahun itu memastikan Kosovo kembali ke Pristina dengan tiga mata penuh.
Keputusan ini menyaksikan Sweden berada di tangga keempat Kumpulan B dengan satu mata. Kosovo pula berada di tempat kedua kumpulan dengan tujuh mata, tiga mata di belakang Switzerland.
Keputusan ini juga dijangka memberi tekanan kepada Tomasson. Ini kerana Sweden masih belum meraih sebarang kemenangan di peringkat antarabangsa sejak Jun 2025.