Paulo Josue Lakar Rekod Baharu Bersama Harimau Malaya
MakanBola
Malaysia NT

Satu lagi rekod baharu dilakar kapten KL City FC, Paulo Josue bersama Harimau Malaya.

Sejak meraih panggilan pertama menyertai kem skuad kebangsaan pada Mac 2023, pemain berusia 36 tahun bukan saja mampu beraksi di pelbagai posisi.

Malah, Josue juga sering menjaringkan gol penting buat Malaysia. Kini, beliau menjadi pemain naturalisasi negara pertama yang menyumbat 10 gol di peringkat antarabangsa.

Anekdot ini dikongsikan HarimauMYstats selepas aksi kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Laos pada 14 Oktober lalu.

“Enam mata maksimum dari dua perlawanan. 13.3 jumlah mata ranking FIFA berjaya dikutip. Paulo Josue turut mencipta rekod menjadi pemain naturalisasi pertama mencatat 10 gol untuk Harimau Malaya,” katanya di X.

Josue menyumbat gol tersebut ketika membantu Harimau Malaya menewaskan Laos 5-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Rekod ini menyaksikan Josue mengatasi catatan gol pemain naturaliasi lain seperti Romel Morales, Mohamadou Sumareh dan Guilherme de Paula.

Bekas pemain Dibba Al-Hisn itu berpeluang melebarkan rekodnya itu jika dipanggil menyertai kem Harimau Malaya seterusnya pada November ini.

Ini kerana skuad negara dijadual bertemu Nepal di SNBJ pada 18 November ini. Kelebihan tuan rumah untuk aksi tersebut dijangka membakar semangat Malaysia untuk mengumpul 15 mata dalam Kumpulan F.