Pearly Tan-M. Thinaah Kekal Bersama BAM
UltraSukan
MSN Malaysia

Beregu wanita utama Malaysia, Pearly Tan dan M. Thinaah kekal bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sehingga tahun 2028.

Keputusan ini sekaligus mengakhiri ketidaktentuan tentang status beregu nombor tiga dunia itu bersama BAM.

Selepas kontrak Pearly-Thinaah berakhir pada Disember 2024, timbul spekulasi sama ada mereka kekal bersama BAM atau menjadi pemain profesional.

Isyarat bahawa mereka akan kekal mula kelihatan selepas mengadakan perbincangan positif bersama Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz baru-baru ini.

Malah, Tengku Zafrul turut memaklumkan masa depan Pearly-Thinaah bakal diputuskan sebelum saingan Japan Open 2025 bermula.

Kini, beliau mengesahkan juara Thailand Open 2025 itu telah mencapai persetujuan untuk kekal bersama badan induk itu.

“Alhamdulillah, saya ingin mengumumkan bahawa BAM dan beregu wanita negara kita, Thinaah dan Pearly telah mencapai persetujuan mengenai isu kontrak mereka.

“Ini adalah hasil perbincangan yang konstruktif dan komitmen bersama demi masa depan yang terbaik buat negara,” katanya dalam sidang media khas.

Keputusan ini membolehkan naib juara Indonesia Open 2025 fokus kepada saingan Japan Open yang akan bermula pada 15 Julai ini.