Beregu wanita nombor satu Malaysia, Pearly Tan dan M. Thinaah muncul juara Japan Masters 2025.
Kejayaan itu dicapai dengan menewaskan beregu tuan rumah dan pilihan keempat kejohanan, Rin Iwanaga dan Kie Nakanishi.
Selepas mengesahkan kemaraan ke saingan BWF World Tour Finals 2025 di Hangzhou, Pearly-Thinaah terus menunjukkan prestasi cemerlang dalam saingan Jelajah BWF.
Ini kerana penampilan final ini merupakan final ketujuh Pearly-Thinaah dalam Jelajah BWF. Ini menjadikan mereka wakil Malaysia pertama yang berjaya melakar pencapaian tersebut.
Iwanaga-Nakanishi menjadi penghalang antara Pearly-Thinaah dan gelaran juara Japan Masters. Menariknya, ini pertemuan ketiga membabitkan kedua-dua beregu untuk tahun 2025.
Iwanaga-Nakanishi pernah berentap dengan Pearly-Thinaah di pentas final Arctic Open. Aksi tersebut menyaksikan wakil negara muncul juara dengan keputusan 21-7, 21-9.
Set pertama menyaksikan pada awalnya, Pearly-Thinaah ketinggalan pada kedudukan 11-9. Mereka kemudiannya mengikat kedudukan 20-20.
Selepas diberi tentangan sengit oleh Iwanaga-Nakanishi, Pearly-Thinaah meraih kemenangan set pertama dengan keputusan 22-20.
Set kedua menyaksikan beregu Jepun itu cuba bangkit. Selepas ketinggalan pada kedudukan 13-10, Pearly-Thinaah berjaya mengikat 13-13.
Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan Iwanaga-Nakanishi membolehkan beregu nombor dua dunia itu muncul juara dengan keputusan 21-19.
Ini gelaran juara ketiga Jelajah BWF yang dimenangi Pearly-Thinaah untuk tahun 2025.