Peminat badminton merasa pelik dengan tindakan pengadil dalam aksi membabitkan beregu lelaki nombor satu Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.
Akaun BadmintonBlahBlah melaporkan Aaron-Wooi Yik diberi tentangan sengit oleh wakil Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kendran dalam aksi suku akhir Sukan SEA 2025 menerusi rali panjang.
Rali tersebut dilaporkan telah menghasilkan 100 pukulan membabitkan kedua-dua beregu. Tatkala peminat berdebar menanti bila rali tersebut berakhir, pengadil menghentikan permainan.
Apabila ditanya sebab keputusan tersebut, pengadil memaklumkan ia dibuat atas alasan permainan yang ditampilkan kedua-dua beregu tidak serius.
Tindakan pengadil membuatkan Aaron-Wooi Yik dan Supak-Kittinupong merasa terkejut dengan apa yang berlaku. Peminat yang berada di Gimnasium Universiti Thammasat turut hairan dengan keputusan itu.
Malah, jurulatih beregu lelaki Malaysia, Herry Iman Pierngadi dan Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky juga hairan dengan keputusan pengadil.
Permainan kembali disambung dengan mata sebelumnya dimainkan. Pada akhirnya, Aaron-Wooi Yik menewaskan Supak-Kittinupong dengan keputusan 21-16, 21-16.
Bekas juara dunia itu menjadi sebahagian daripada tujuh wakil negara yang mara ke separuh akhir.