Peluang Harimau Malaya Tebus Duka 7 Bulan Lalu
MakanBola
Malaysia NT

Pasukan Harimau Malaya berpeluang untuk menebus duka yang dialami sekitar 7 bulan yang lalu.

Baru-baru ini, Malaysia telah mengambil keputusan cukup berat dengan menarik diri daripada saingan CAFA Nations Cup yang diadakan di Tajikistan bermula penghujung Ogos ini.

Keputusan ini mendorong pihak pengurusan skuad Harimau Malaya untuk mencari perlawanan gantian bagi mengisi slot jendela antarabangsa FIFA pada 1 September hadapan.

Lantas, ketua jurulatih, Peter Cklamovski mengumumkan dua aksi persahabatan bakal diadakan pada bulan September ini dengan menentang Singapura dan Palestin di Kuala Lumpur.

Aksi menentang Singapura ini dilihat peluang terbaik untuk pasukan negara menebus kedukaan di atas keputusan yang berlaku kira-kira 7 bulan lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ketika itu, Malaysia dan Singapura turun dalam aksi terakhir kumpulan A Piala ASEAN Mitsubishi Electric dengan skuad negara kendalian Pau Marti wajib meraih 3 mata untuk layak ke separuh akhir.

Walau bagaimanapun, impian besar Harimau Malaya itu lebur apabila Singapura berjaya memperoleh satu mata yang amat berharga hasil keputusan seri 0-0 sekaligus layak selaku naib juara kumpulan.

Sementara Malaysia akur tersingkir setelah menamatkan aksi di kedudukan ke-3 kumpulan dengan mengutip 5 mata hasil satu kemenangan, dua keputusan seri dan satu kekalahan di tangan Thailand.

Kini, Malaysia dan Singapura bakal kembali bertemu di Kuala Lumpur dalam aksi persahabatan pada 4 September ini dan maklumat lanjut mengenai perlawanan ini akan diumumkan dalam masa terdekat.