Peluang Kedua Harimau Malaya
MakanBola
Malaysia NT

Harimau Malaya memperoleh peluang kedua dalam misi mengekalkan rekod bersih ketika ini.

Skuad kendalian Peter Cklamovski dalam prestasi terbaik susulan kemenangan 3-0 berdepan Laos pada aksi ketiga Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027.

Malaysia kini mengekalkan rekod bersih dalam tiga perlawanan awal – menumpaskan Nepal 2-0 sebelum menundukkan Vietnam dengan jaringan 3-0.

Pasukan kebangsaan turut meraih tambahan +6.78 mata pada aksi berdepan Laos sekali gus membantu skuad negara melonjak tinggi kedudukan ke-119 dunia berbanding 123 dunia pada kemas kini terdahulu.

Malaysia berpeluang untuk meraih tambahan +6.77 mata lagi dan berpotensi untuk melonjak ke kedudukan 118 dunia berdasarkan kemas kini masa-nyata FIFA.

Sungguhpun tanpa tujuh pemain warisan, anak buah Cklamovski kekal ampuh selain memberi peluang kepada pemain muda seperti Ubaidullah Shamsul, Harith Haikal dan Ramadhan Saifullah untuk beraksi.

Malaysia juga membariskan pemain seperti Afiq Fazail, Nazmi Faiz, Arif Aiman, Shahrul Saad dan juga Syihan Hazmi ketika melakar kemenangan tempoh hari.

Aksi antara Malaysia vs Laos dijadual berlangsung pada Selasa, 14 Oktober 2025 di Stadium Nasional, Bukit Jalil jam 9.00 malam.