Malaysia berpeluang untuk melonjak ranking FIFA sekiranya meraih dua kemenangan berharga, Oktober ini.
Skuad kendalian Peter Cklamovski kini dalam persiapan menjelang aksi ketiga Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 menentang Laos pada 9 dan 14 Oktober ini.
Harimau Malaya dalam misi untuk mengekalkan rekod cemerlang selepas meraih 6 mata daripada dua aksi awal kumpulan.
Peluang pasukan kebangsaan yang kini menduduki tangga ke-122 dunia untuk memperbaiki kedudukan ranking FIFA kembali terbuka luas.
Kemenangan berdepan pasukan kendalian Ha Hyeok-jun bakal menyaksikan Harimau Malaya berpeluang untuk meraih tambahan +6.78 mata sekiranya berjaya mengatasi tentangan Laos dan meraih 1155.01 mata secara keseluruhan.
Tambahan +6.78 mata lagi menanti skuad negara jika berjaya merakam kemenangan kedua ke atas pasukan ke-185 dunia itu sekali gus membantu Malaysia untuk menembusi kelompok 110 terbaik dunia dalam ranking FIFA.
Malaysia bakal bertemu Laos di New Laos National Stadium pada 9 Oktober jam 9.00 malam sebelum satu lagi aksi pada 14 Oktober dijangka di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Ketika ini, pasukan terbaik di Asia Tenggara kekal milik Thailand di tangga ke-101 dunia disusuli oleh Vietnam (114) dan Indonesia (119).