Pelukan erat ketua jurulatih kebangsaan, Peter Cklamovski kepada Faisal Halim membawa makna yang cukup mendalam.
Detik itu berlaku tatkala Harimau Malaya berjaya mengatasi tentangan pasukan ke-185 dunia, Laos dengan keputusan 5-1 pada aksi keempat Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027.
Skuad negara bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan pertama oleh pasukan pelawat yang menyaksikan Malaysia ketinggalan pada babak pertama.
Semuanya berubah selepas pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim mencetak jaringan pertama skuad negara menerusi sepakan percuma cantik yang menerjah penjuru jaring kanan Laos.
Beliau sempat meraikan jaringan tersebut sebelum meluru ke arah jurulatih kelahiran Australia itu yang memberikan satu pelukan erat buat pemain berusia 27 tahun itu menerusi klip oleh Astro Arena.
Jaringannya itu juga menjadi pencetus apabila Harimau Malaya menambah empat lagi jaringan untuk memastikan tiga mata buat Malaysia yang terus unggul di tangga teratas Kumpulan F.
Faisal sebelum ini merakamkan jaringan selepas 623 hari tidak melakukannya ketika kemenangan 3-0 di gelanggang lawan menentang Laos sebelum beliau kembali mencetak jaringan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Pemain sayap lincah ini juga mencatat nama selaku penjaring dalam kesemua enam aksi terakhir bersama kelab dan juga pasukan kebangsaan.