Dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan seorang bintang Selangor FC dipilih sebagai penerima anugerah individu terbaik Divisyen 1 MPFL 2025.
Penyerang Selangor, Vitor Fernandes menerima anugerah Penjaring Terbanyak Divisyen 1. Ini selepas beliau menjaringkan 29 gol dalam divisyen berkenaan.
Rakan senegara yang mewakili Harimau Selatan, Bruno Taffy pula dipilih sebagai pemain terbaik Divisyen 1 untuk musim 2025.
Persembahan cemerlang beliau sepanjang musim bukan saja membantu JDT muncul juara Divisyen 1 buat kali kedua berturut-turut. Malah, Taffy turut menyumbat 21 gol musim ini.
Kapten JDT yang juga penjaga gol utama, Azrul Hadee Mohd Taufiq pula dipilih sebagai penjaga gol terbaik kejohanan. Azrul memastikan JDT hanya dibolosi 36 kali sepanjang musim ini.
Fernandes menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3,000. Taffy dan Azrul pula masing-masing menerima hadiah RM2,000.
Hadiah ini dijangka membakar semangat ketiga-tiga pemain ini untuk membantu pasukan masing-masing mengharungi saingan Malaysia Futsal Cup.