Satu jaringan dan dua bantuan jaringan ketika membantu Indera SC menewaskan Jerudong FC 3-0 menyaksikan satu permulaan yang sempurna buat pemain kacukan Malaysia-Mesir, Amir Abada Tawfik di Liga Super Brunei.
Amir yang berhijrah dari skuad Piala MFL, Sabah FC II dilihat tidak perlu menunggu lama untuk menunjukkan kualiti dirinya sekaligus berjaya menarik perhatian banyak pihak.
Bakatnya yang dikesan jurulatih Raja Isa Raja Akram Shah mahu terus fokus dalam membantu pasukan mencapai sasaran dan mahu terus bekerja keras bagi mencapai sasaran peribadinya untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
Menurut Amir Abada, beliau berpuas hati atas aksi sulung beliau bersama pasukan baharu di Liga Super Brunei dan mengucapkan terima kasih ke atas jurulatih, Raja Isa.
“Syukur untuk debut dengan satu gol dan dua ‘assist’, permulaan baik untuk saya. Musim ni fokus saya untuk konsisten dan bantu pasukan untuk capai sasaran.”
“Saya menganggap ianya sebagai rezeki sekiranya saya menjadi ‘top scorer’ atau ‘top assist’ dan berterima kasih kepada jurulatih Raja Isa yang banyak bagi kepercayaan dan tunjuk ajar.”
Tambahan Amir Abada, beliau berharap dapat membantu skuad Harimau Malaya pada suatu hari nanti.
“Impian saya tetap hendak mewakili Malaysia satu hari nanti, dan kalau ada peluang main di luar negara, itu juga cita-cita dan impian saya,” katanya.
Sementara itu, Raja Isa juga memuji kesungguhan yang ditunjukkan oleh beliau dan mahu dia terus fokus untuk menghadapi musim yang masih panjang.
Jurulatih berpengalaman itu juga mahu melihat filosofi bola sepak yang diterapkan mampu diterjemahkan oleh para pemain dengan memasang impian untuk membawa Kasuka SC muncul juara dan bermain di peringkat Asia musim hadapan.
Menurut Raja Isa, beliau berharap semua pemain dapat membina kesefahaman sesama sendiri dan skuad Indera SC memenangi Liga Super Brunei.
“Harapan saya adalah para pemain dapat menyerap struktur dan filosofi pasukan yang saya bentuk sejak Mei 2025.”
“Impian saya mahu melihat Indera SC muncul juara musim ini dan kembali beraksi di peringkat Asia untuk musim 2026-2027.”
Tambahan Raja Isa, beliau sangat bangga sejak mengambil alih posisi sebagai ketua jurulatih dan berjaya membawa beberapa pemain ke peringkat lebih tinggi.
“Lebih membanggakan semenjak saya menjadi ketua jurulatih, saya telah berjaya membawa pasukan ini ke peringkat akhir Piala FA dan 9 pemain saya dapat bermain dengan skuad Brunei Bawah 23 serta empat pemain senior dipanggil ke skuad kebangsaan Brunei,” jelasnya.
Liga Super Brunei membuka tirainya pada 19 September 2025 dengan penglibatan 12 pasukan dan Indera SC kini di tangga kedua dengan tiga mata.