Seorang pemain kelahiran Kuala Lumpur, Malaysia pamer aksi memukau di Liga Jepun hingga membantu kelabnya layak ke saingan divisyen kedua.
Nama Joe Caletti sebelum ini pernah menjadi bualan peminat apabila maklumat beliau dilahirkan di Kuala Lumpur, Malaysia tersebar selain menghabiskan sebahagian besar kariernya di Australia.

Pada Januari lalu, Joe Caletti telah dilepaskan oleh kelab A-League, Brisbane Roar dan memilih untuk kembali ke Tochigi City yang ketika ini sedang beraksi di saingan J-League 3 musim ini.
Khidmat Caletti tampaknya menjadi tulang belakang kepada persembahan hebat Tochigi City sejak tiba pada awal tahun ini apabila berjaya merekodkan 27 penampilan dalam saingan divisyen 3 Jepun itu
Malah, tonggak tengah berusia 27 tahun itu juga melakukan dua bantuan jaringan buat Tochigi City musim ini, menyamai rekod terbaik yang dicatatkan ketika bersama Brisbane Roar pada musim 2023/2024.
Selepas 37 perlawanan, Tochigi City akhirnya bergelar juara J-League 3 selepas mengalahkan Nagano 3-0 dengan Joe Caletti berada dalam kesebelasan utama dan beraksi selama 81 minit.
Kemenangan di tempat sendiri itu meletakkan Tochigi City di kedudukan teratas J-League 3 dengan mengumpul 74 mata, 4 mata mengatasi Vanraure Hachinohe ketika mana satu lagi aksi berbaki.
Aksi terakhir J-League 3 bakal menyaksikan Joe Caletti dan Tochigi City akan berkunjung ke laman lawan untuk bertemu Sagamihara pada Sabtu, 29 November jam 2 petang waktu Malaysia.
Ketika ini, Malaysia memiliki seorang pemain yang beraksi di Jepun bersama Cerezo Osaka iaitu Dion Cools yang sedang menikmati musim sulung yang baik dengan satu jaringan dan satu bantuan gol.