Pengendali skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Nafuzi Zain percaya anak buahnya cukup bersemangat untuk memburu kemenangan ke atas Brunei.
Malaysia membuka kempen Piala Mandiri ASEAN B-23 dengan langkah kiri. Ini selepas skuad negara tewas mengejut 2-0 kepada Filipina.
Nafuzi mengakui kekalahan tersebut mengecewakan anak buahnya yang berharap dapat melakar kemenangan pertama.
Atas sebab itu, beliau mendedahkan para pemain sudah berjanji untuk mendapatkan kemenangan bila bertemu Brunei.
“Memang kalau kita tengok lepas perlawanan menentang Filipina itu, pemain sedikit kecewa dengan kekalahan yang kita tidak jangkakan ini.
“Tapi kita faham inilah bola sepak. Selepas semalam, lepas kita jalani latihan dan semakan dengan para pemain, berbincang dengan para pemain (dan) lihat moral pemain dalam keadaan baik, para pemain dilihat menyesali apa yang terjadi semasa menentang Filipina.
“Mereka berjanji mereka akan bangkit dan mencari kemenangan dengan Brunei dalam perlawanan seterusnya,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Malaysia akan menentang Brunei dalam aksi kedua Kumpulan A pada 18 Julai ini.