Ketiadaan pemain Nilai City dalam aksi Malaysia Premier Futsal League (MPFL) divisyen 2 baru-baru ini didakwa berpunca daripada penolong jurulatih pasukan.
Sabtu lalu, satu khabar mengejutkan berlaku di gelanggang futsal FAM apabila hari perlawanan ke-7 MPFL divisyen dua antara Pulau Pinang dan Nilai City telah pun dibatalkan oleh penganjur.
Hal ini kerana Nilai City hadir ke venue perlawanan dengan jumlah pemain yang tidak mencukupi untuk aksi dimulakan dan keputusan aksi akan ditentukan oleh Jawatankuasa FAM.
Sehubungan itu, pihak undang-undang Nilai City dalam satu kenyataan pada Isnin telah memohon maaf dan menjelaskan bahawa tindakan pemain yang tidak hadir ke perlawanan ini di luar jangkaan kelab.
Malah, tindakan para pemain ini juga didakwa berpunca dari perbuatan penolong jurulatih yang melakukan keputusan tanpa berbincang dengan pegawai tertinggi pasukan ketika itu.
”Tindakkan pemain-pemain ini adalah disebabkan oleh perbuatan seorang Penolong Jurulatih dengan tanpa merujuk terlebih dahulu kepada Pengurus atau Ketua Jurulatih yang merupakan pegawai tertinggi dalam pasukan.”
Melalui semakan, pihak Nilai City telah menghantar surat tunjuk sebab kepada penolong jurulatih itu oleh kerana maklumat diterima mengatakan ini bukanlah kali pertama berlaku insiden seperti ini.
“Pihak pengurusan kelab telah membuat semakan dan mendapatkan maklumat daripada pihak-pihak berkaitan mengenai tindakkan seorang Penolong Jurulatih beserta pemain-pemain tersebut bukan kali pertama ianya berlaku.”
“Melalui semakan dan maklumat yang diperolehi, Bahagian Undang-Undang kelab telah menghantar notis tunjuk sebab kepada Penolong Jurulatih berkenaan dan tempoh masa membalas diberikan adalah 3 hari bermula hari ini.”
Nilai City kini berada di tangga ke-11 MPFL divisyen 2 dengan mengutip 7 mata hasil dua kemenangan, sekali seri dan 3 kali kalah dalam 6 perlawanan tanpa mengira aksi bertemu Pulau Pinang