Pemain Nombor 44 JDT Cetus Persoalan
MakanBola
Johor Southern Tigers

Aksi pra-musim Johor Darul Ta’zim (JDT) di Sepanyol semakin menunjukkan perkembangan positif apabila skuad mencatat dua kemenangan daripada dua perlawanan. Namun, tumpuan utama penyokong bukan sekadar kepada keputusan perlawanan, sebaliknya terarah kepada kelibat pemain muda yang mengenakan jersi nombor 44 ketika menentang Costa City.

Pemain tersebut dikenal pasti sebagai Miquel Angel Cuesta, seorang pertahanan tengah muda yang sebelum ini pernah beraksi untuk pasukan muda Real Mallorca.

Aksinya ketika JDT menang tipis 1-0 ke atas Costa City nyata mencuri perhatian ramai disebabkan namanya belum pernah disebut dalam senarai rasmi skuad utama sebelum ini.

Hasil tinjauan di ruangan komen laman rasmi Johor Southern Tigers, difahamkan bahawa Miquel Cuesta merupakan anak kepada pembantu jurulatih JDT, Roberto Cuesta. Ini menjelaskan kaitannya dengan pasukan dan kemungkinan besar beliau terlibat dalam kem latihan atau penilaian bersama pasukan utama.

“Miquel Angel Cuesta Dah lama berada dalam JDT, tapi belum announce. Mungkin trial. Anak pembantu coach Roberto Cuesta,” komen pengguna Facebook, Muhammad Azri.

Dalam aksi menentang Costa City itu, JDT menurunkan ramai pemain tempatan pada separuh masa pertama, sebelum melakukan beberapa pertukaran pada separuh masa kedua termasuk kemasukan Miquel Cuesta.

Sebelum itu, JDT memulakan kempen pra-musim mereka dengan kemenangan bergaya 4-0 ke atas Real Murcia Imperial, sekali gus memberi isyarat awal tentang tahap persiapan mereka menjelang musim baharu Liga Super Malaysia 2025-2026.

Langkah JDT memberi ruang kepada pemain muda seperti Miquel Cuesta membuktikan komitmen kelab itu dalam pembangunan bakat yang tidak hanya dalam kalangan pemain tempatan, tetapi juga pemain berbakat dari luar negara.

Sekiranya Cuesta terus menunjukkan prestasi meyakinkan dalam siri aksi pra-musim di Sepanyol, tidak mustahil namanya akan dimasukkan secara rasmi ke dalam skuad utama JDT bagi musim yang akan datang.