“Pemain PDRM Terlalu Hormat JDT” – Eddy Gapil
MakanBola
PDRM FC

Jurulatih PDRM, Eddy Gapil melihat rasa hormat melampau pemain-pemain beliau terhadap pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengundang padah dalam aksi Liga Super pada Ahad.

PDRM dan JDT turun berentap dalam saingan Liga Super di Stadium Selayang dengan The Cops mahu meneruskan aksi cemerlang selepas menewaskan Kelantan TRW minggu lalu.

Walau bagaimanapun, JDT yang hadir selaku pasukan pilihan berhasil membawa pulang 3 mata dari tempat lawan selepas cemerlang menundukkan PDRM dengan keputusan 7-0.

Arif Aiman dan Jairo Da Silva masing-masing meledak dua gol manakala Bergson, Eddy Israfilov serta Romel Morales menyumbang satu jaringan buat pasukan Harimau Selatan itu.

Menurut Eddy Gapil, perasaan terlalu menghormati pasukan lawan membuatkan para pemain PDRM tidak mampu untuk memberi aksi terbaik malah mendorong berlakunya kesilapan mudah.

Hasil dari kesilapan tersebut, JDT bijak mengambil peluang untuk menjaringkan gol dan Eddy Gapil melihat perkara itu sepatutnya dapat dielakkan lebih awal tetapi masih berlaku juga.

”Bagi saya, ini mudah sahaja apabila kita terlalu menghormati seseorang, itu sebab kita tidak mampu beri sebaik mungkin.”

”Apa yang saya nampak malam ini, pemain PDRM terlalu hormati (JDT), itu sebab ada beberapa kesilapan mudah yang berlaku,” kata Eddy Gapil selepas perlawanan.

“Sepatutnya benda (kesilapan) boleh elak, masih berlaku juga,” tegas beliau lagi.

Kekalahan PDRM ini meletakkan The Cops di tangga ke-8 dengan 6 mata setelah 6 perlawanan sementara JDT pula masih selesa di puncak carta Liga Super dengan 21 mata maksimum.