Pemain Sayap Tenerife Bakal Warnai Liga Super?
MakanBola
CD Tenerife

Seorang pemain sayap Tenerife dilaporkan bakal memeriahkan saingan Liga Super musim 2025/26.

Wartawan Sepanyol, Beni Arroyo memaklumkan pemain sayap kelab tersebut, Alberto Martin atau Teto dilaporkan telah bersetuju menerima tawaran sebuah kelab Malaysia.

Meskipun mendapat tawaran beberapa kelab LaLiga2, Teto dilaporkan tetap memilih Malaysia sebagai destinasi baharunya.

“Alberto Martin ‘Teto’ kini berkelana ke Malaysia. Pemain bola sepak Tenerife sudah mengemaskan begnya dan akan berangkat ke Asia Tenggara.

“Beliau sebelum ini berada dalam radar beberapa kelab Divisyen Dua (LaLiga2),” katanya di X.

Walau bagaimanapun, identiti pasukan yang merekrut Teto tidak didedahkan setakat ini. Menariknya, Teto ialah klien kepada ejen bola sepak, Ivan Cristovinho.

Nama Cristovinho cukup dikenali peminat bola sepak negara kerana dua kliennya mewarnai arena bola sepak Malaysia.

Dua klien beliau yang dimaksudkan ialah bekas pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Jonathan Viera dan pemain bek kiri Harimau Malaya, Gabriel Palmero. Ini berdasarkan semakan di Transfermarkt.

Sepanjang bersama Tenerife, Teto merekodkan 98 penampilan, enam gol dan dua bantuan gol.