Peminat Kelab Finland Tergamak Bakar Stadium
MakanBola
FC Haka

Arena bola sepak Finland dikejutkan dengan berita penyokong FC Haka membakar stadium mereka, Tehtaan kentta baru-baru ini.

Euronews melaporkan insiden tersebut berlaku disebabkan rasa tidak puas hati penyokong selepas FC Haka tersingkir ke divisyen kedua Finland.

Kebakaran bukan saja mengakibatkan kawasan tempat duduk utama stadium musnah. Malah, ia turut menjejaskan sebahagian padang sintetik Tehtaan kentta.

Susulan itu, pihak berkuasa menahan tiga remaja yang disyaki terlibat dalam jenayah tersebut. Salah seorang daripada mereka iaitu remaja berusia 15 tahun bertanggungjawab mencetuskan kebakaran itu.

Mengikut undang-undang Finland, pelaku berusia 15 tahun ke bawah dikecualikan daripada dakwaan jenayah.

Walau bagaimanapun, pegawai penyiasat kes, Detektif Inspektor Maijastiina Tammisto memaklumkan tiga individu itu perlu bersedia membayar pampasan setimpal kepada semua pemegang taruh yang terkesan.

Ini kerana undang-undang Finland tidak menetapkan had umur untuk pampasan liabiliti. Polis Finland turut menasihati orang ramai untuk mengawal emosi susulan insiden berkenaan.

Pengerusi FC Haka, Marko Laaksonen memaklumkan anggaran kerugian masih belum diketahui. Pada masa sama, beliau percaya ia bakal memberi kesan kepada kewangan pasukan itu.

“Sudah tentu kita tidak perlukan ini, itu sudah pasti. Kita telah menerima sokongan daripada ramai orang dan kita akan terus memerlukannya pada masa akan datang,” katanya.

Tehtaan kentta atau Factory Field merupakan stadium rasmi FC Haka sejak tahun 1930-an. Stadium ini terletak di tengah-tengah Valkeakoski dan memiliki kapasiti seramai 20,000 orang.