Peminat STL Puas Hati Lihat Rali Epik Kelantan Warriors vs Selangor Pistons
UltraSukan
SepakTakraw League

Peminat SepakTakraw League (STL) cukup teruja melihat rali epik membabitkan Kelantan Warriors dan Selangor Pistons di Grand Prix (GP) Johor baru-baru ini.

Rali ini berlaku dalam set ketiga aksi penentuan tempat ketiga/keempat GP Johor di Arena Larkin, Johor Bahru pada 10 Ogos lalu.

Selangor Pistons memenangi set pertama menerusi gandingan Zuhri Zain, Salman Anuar dan Jefri Ahmad dengan keputusan 15-13.

Kelantan Warriors kemudiannya membuat perubahan dengan memasukkan Azim Azizul pada set kedua. Kemasukan Azim sebagai apit kanan membantu pasukan Kelantan Warriors meraih kemenangan 15-10 dalam set kedua.

Perlawanan kemudiannya semakin mendebarkan apabila Salman dan Azim berentap dari segi libasan. Salman beberapa kali melakukan libasan ke arah ruang gelanggang Kelantan Warriors. Malangnya, bola beliau berjaya ditampan barisan pemain lawan yang berjuang habis-habisan.

Pada akhirnya, libasan Azim sudah cukup memastikan Kelantan Warriors menyamakan kedudukan 4-4. Kelantan Warriors kemudiannya memenangi perlawanan dengan keputusan 15-13.

Rali tersebut bukan saja mengujakan penyokong yang hadir di Arena Larkin. Malah, ia turut mengujakan pengulas perlawanan, Haji Zainal Abidin Rawop dan bekas pemain kebangsaan, Mukhlis Borhan.

Mukhlis menyifatkan rali membabitkan kedua-dua pasukan itu sebagai mengagumkan. “Satu rali yang cukup baik daripada kedua-dua pasukan,” katanya.

Sebaik video rali itu disiarkan di platform STL, ramai peminat STL cukup teruja dengan rali yang dipamerkan Kelantan Warriors dan Selangor Pistons.

Seorang peminat bernama Ibnuhalid menyifatkan rali tersebut memiliki semua elemen menghiburkan termasuk kualiti permainan kedua-dua regu.

“Pujian kepada kesemua enam pemain atas gelanggang. Ada petik, ada halang, ada badik, bola dua ada, hantar bola pendek ada, libas ada, ketuk ada, mantap!

“Padu anak muda. Jurulatih di luar (gelanggang) pun tak henti beri sokongan,” katanya di ruang komen Instagram.

Seorang lagi peminat bernama Aniep_Aqusticka turut senada dengan beliau. “Macam inilah anak muda,” katanya.

Kelantan Warriors menamatkan GP Johor di tempat ketiga dengan Selangor Pistons di tempat keempat.

Pencapaian ini dijangka membakar semangat pasukan Pantai Timur itu untuk saingan GP Perak yang akan bermula pada 13 Ogos ini.