Peminat Terkejut Dengan Keputusan Rakhpol Sainetngam
UltraSukan
FA Malaysia

Senarai 20 pemain futsal Malaysia yang dipanggil oleh ketua jurulatih, Rakhpol Sainetngam telah menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat menjelang aksi Kelayakan Piala Asia Futsal.

Pada Selasa, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan telah mengumumkan senarai 20 pemain yang dipilih oleh Rakhpol Sainetngam bagi menyertai latihan pusat skuad futsal negara.

Skuad kali menyaksikan penyertaan 7 orang pemain pasukan futsal JDT seperti Awalluddin Mat Nawi, Ridzwan Bakri, Saad Sani, Mahadir Harahap, Firdaus Ambiah, Ekmal Shahrin dan Danial Dain.

Juara Malaysia Futsal Cup, Selangor pula diwakili seramai 6 orang tonggak iaitu Syaifuddin Syukri, Khairul Effendy, Faris Johan, Aidil Shahril, Haiqal Hasnor dan pemain muda, Syahir Iqbal Khan.

Manakala 4 pemain Pahang Rangers beserta masing-masing satu dari Sabah, KL City dan Terengganu pula melengkapkan senarai 20 pemain yang berpeluang tampil di Kelayakan Piala Asia Futsal.

Tinjauan di ruangan komen menyaksikan beberapa peminat menyuarakan pendapat berbeza tentang pemilihan pemain yang dibuat oleh Rakhpol Sainetngam untuk kem latihan kali ini.

Sesetengah peminat terkejut melihat nama pemain pivot JDT, Ekmal Shahrin yang dipanggil walaupun baru kembali beraksi baru-baru ini selepas alami kecederaan panjang sebelum ini.

Malah, ada juga penyokong yang hairan ketika mana melihat ketiadaan nama beberapa pemain seperti Abu Haniffa, Syed Aizad dan Razin Rahim yang bermain cemerlang sepanjang musim ini.

“Tak dinafikan Ekmal Shahrin seorang pemain yang berbakat besar tetapi beliau baru main beberapa aksi selepas berehat panjang. Berilah peluang kepada bakat-bakat lain dahulu,” tulis Saddam Dekmat di laman Facebook.

“Ekmal Shahrin? Baru main dua aksi dah dapat panggilan?” soal _izzatamer di ruangan komen Instagram FAM.

”Seriuslah Razin (Rahim) tak dapat panggilan?” tanya salah seorang peminat, shameer.rzn.

“Razin Rahim? Syed Aizad?” komen Muhd Azrif.

20 pemain ini bakal berkumpul di Arena Futsal FAM bermula 28 Ogos hingga 8 September sebelum berlepas ke Thailand bagi menjalani latihan pusat di sana sehingga 14 September.

Pada aksi Kelayakan Piala Asia Futsal nanti, Malaysia diundi di dalam kumpulan G dan dijadualkan menentang UAE bagi perlawanan pertama pada 20 September di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan, Pahang.

Bangladesh akan menjadi lawan kedua pasukan futsal negara pada 22 September sebelum berdepan Iran bagi aksi terakhir kumpulan selang dua hari kemudian di venue yang sama.