Tekanan hebat terus dirasai jurulatih Ulsan HD, Kim Pan-gon.
Hal ini berlaku susulan prestasi buruk yang dipamerkan Ulsan dalam beberapa kejohanan termasuk saingan K-League 1.
Terbaru, The Tigers mengalami kekalahan ketujuh dalam liga apabila tewas tipis 1-0 kepada FC Seoul. Bekas pemain sayap Manchester United, Jesse Lingard meledakkan gol tunggal buat tuan rumah.
Situasi ini menyebabkan Ulsan kini berada di tangga ketujuh liga dengan 30 mata, 18 mata di belakang pendahulu, Jeonbuk Hyundai Motors.
Susulan itu, Korea Football News melaporkan penyokong Ulsan mahu memboikot pasukan itu sehinggalah Pan-gon meletak jawatan sebagai jurulatih.
Ini kerana pada hemat mereka, bekas jurulatih Harimau Malaya itu dilihat tidak mampu mengekang kemerosotan prestasi The Tigers.
Desakan ini timbul tatkala Pan-gon bersiap sedia membimbing pasukan K-League All-Stars untuk aksi persahabatan menentang Newcastle United. Aksi ini bakal berlangsung pada 30 Julai ini di Stadium Piala Dunia Suwon.