Vietnam berjaya menumpaskan pasukan kebangsaan Laos dengan keputusan 0-2 pada aksi ke-5 Kelayakan Piala Asia 2027 Arab Saudi di Stadium Kebangsaan 16 Utama, Laos.
Laos membariskan Anoulak Vilaphonh di bahagian penjaga gol dan Bounphachan Bounkong mengemudi jentera tengah manakala Soukpachan Leuanthala menjadi ayam tambatan pasukan tersebut.
Sementara itu, Vietnam menurunkan penyerang berbisa kelab Công An Hồ Chí Minh City, Nguyen Tien Linh dan Dang Van Lam di bahagian benteng terakhir.
Vietnam tampak menguasai perlawanan dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya pada awal minit perlawanan menerusi pemain berprolifik negara tersebut, Nguyen Quang Hai.
Pasukan julukan Golden Star Warriors memiliki peluang keemasan untuk membuka akaun jaringan menerusi penyerang sensasi, Nguyen Tien Linh namun rembatan beliau di hadapan gawang Laos tersasar jauh pada minit ke 31′ aksi.
Memasuki minit ke 35′ kedudukan masih terikat tanpa jaringan meskipun Vietnam melancarkan beberapa serangan berbahaya.
Laos turut melakukan beberapa serangan pada minit akhir separuh masa pertama namun segala percubaan gagal menepati sasaran gawang Vietnam.
Aksi separuh masa pertama tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.
Bersambung babak kedua perlawanan, Vietnam terus menerus mengasak kubu pasukan tuan rumah, Laos.
Laos berjaya menahan segala tekanan yang diberikan oleh pasukan Vietnam dengan tonik tambahan ribuan penyokong sendiri di stadium.
Golden Star Warrior berjaya membuka akaun jaringan perlawanan menerusi penyerang naturalisasi negara tersebut, Nguyen Xuan Son pada minit ke 67′ hasil ledakan sepakan penalti.
Laos dilihat meningkatkan serangan pada 15 minit terakhir bagi mencari gol penyamaan sekaligus mengikat pasukan Vietnam di halaman sendiri.
Vietnam berjaya menambah gol kedua perlawanan pada minit ke 92′ menerusi Pham Tuan Hai sekaligus mengesahkan kemenangan pasukan julukan Golden Star Warrior.
Aksi kedua-dua pasukan tamat dengan keputusan 0-2 memihak kepada pasukan pelawat, Vietnam.