Pengarah Teknikal Sabah Undur Diri
MakanBola
Sabah FC

Pengarah Teknikal Sabah FC, Scott Ollerenshaw memaklumkan 14 Disember lalu merupakan hari terakhir beliau bersama pasukan itu.

Hal ini dinyatakan beliau menerusi satu kenyataan yang dikongsikan di Facebook. Ollerenshaw memaklumkan faktor keluarga mendorong beliau untuk kembali ke Australia.

“Sepanjang tempoh empat bulan, ibu bapa saya yang meniti usia lanjut berdepan beberapa isu kesihatan yang mencabar di Australia.

“Justeru, selepas menetap di Sabah selama 31 tahun, tibalah masa untuk saya bersama ibu bapa saya.

“(Keputusan) mengundur diri daripada jawatan saya bersama Sabah FC merupakan satu keputusan yang sukar dan beremosi tetapi ia satu keputusan yang tepat,” katanya.

Ollerenshaw turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak termasuk penyokong sepanjang tempoh beliau bersama Sang Badak.

Nama legenda Australia berusia 57 tahun itu bukan asing dengan penyokong Sabah. Beliau pernah beraksi selama empat musim bersama Sang Badak pada tahun 90-an.

Sepanjang tempoh itu menyaksikan Ollerenshaw membantu pasukan itu bergelar juara Piala FA dan Liga Perdana.

Bekas pemain Walsall itu kemudiannya dibawa masuk sebagai Pengarah Teknikal Sabah pada tahun 2021. Ollerenshaw bertanggungjawab mengenal pasti ramai pemain warisan Malaysia seperti Stuart Wilkin, Matthew Davies dan Darren Lok.

Meskipun Sabah gagal meraih sebarang trofi sepanjang tempoh beliau bergelar pengarah teknikal Sabah, pasukan itu cukup dihormati dalam saingan Liga Super.

Selain berjaya meraih tempat ketiga liga selama tiga musim berturut-turut, Sang Badak berjaya mara ke saingan Piala AFC musim 2023/24 dan final Piala FA 2025.