Satu pengumuman besar menanti pasukan Harimau Malaya pada minggu hadapan.
Baru-baru ini, topik penarikan diri pasukan Harimau Malaya bimbingan Peter Cklamovski telah menjadi perhatian ramai ketika mana para penyokong jelas hampa dengan keputusan itu.
Skuad kebangsaan mengambil keputusan tersebut selepas mengambil kira faktor-faktor seperti isu pelepasan pemain, kos logistik selain jadual penerbangan yang menyukarkan perjalanan pasukan.
Keputusan menarik diri ini membuatkan jadual skuad negara ketika jendela antarabangsa FIFA pada bulan September ini masih menjadi persoalan dengan hanya kem latihan di Kuala Lumpur diatur kini.
Menurut Peter Cklamovski, pihak pengurusan sudah pun merangka pelan alternatif bagi menggantikan aksi di CAFA Nations Cup dan pengumuman itu akan dibuat dalam masa terdekat.
”Kami ada perancangan A, B dan C, jadi kami bersedia untuk menjalankan pelan itu,” kata Peter Cklamovski kepada Astro Arena.
”Pengumuman akan dibuat tidak lama lagi dan amat penting buat semua orang berasa teruja kerana kita bergerak ke arah yang tepat,” tambah jurulatih kelahiran Australia itu lagi.
Perkembangan terbaharu pula dikongsikan oleh wartawan The Star, T. Avineshwaran, yang memaklumkan satu berita akan diumumkan tentang aksi persahabatan skuad Harimau Malaya minggu hadapan.
“Malaysia dijadualkan mengatur perlawanan persahabatan antarabangsa pada September dengan pengumuman rasmi dijangka dibuat minggu hadapan,” lapor Avineshwaran di laman X.
“Sesi latihan pusat sedang dirancang, dengan tumpuan utama adalah untuk mengutip mata ranking FIFA dan memperbaiki kedudukan dalam ranking dunia.”
Jendela antarabangsa FIFA bakal berlangsung pada 1 hingga 9 September hadapan dengan persiapan rapi perlu diatur sebelum aksi Kelayakan Piala Asia 2027 pada Oktober nanti.