Penyokong Raith Rovers berdoa agar pemain Harimau Malaya, Richard Chin segera pulih daripada kecederaannya.
Hasrat itu dizahirkan mereka dalam satu program bersama penyokong yang diadakan baru-baru ini. Dua pemain hadir sebagai wakil The Rovers iaitu Richard dan Lewis Vaughan.
Apabila ditanya tentang status kecederaannya, graduan akademi Charlton Athletic itu mengakui kecewa tidak dapat beraksi buat masa ini.
Pada masa sama, pemain berusia 23 tahun itu berharap dapat kembali dan menambah kekuatan pasukan yang dibimbing Barry Robson itu.
“Ya, agak sedih sebab ia berlaku ketika musim sedang berjalan. Tapi saya akan kembali dan saya akan jadi lebih baik selepas ini,” katanya seperti dilaporkan Harimau Abroad.
Sebaik mendengar jawapan beliau, penyokong yang hadir berharap Richard dan Vaughan segera sembuh. Ini kerana mereka melihat kedua-duanya sebagai tonggak utama Raith Rovers.
Richard mengalami kecederaan lutut ketika beraksi menentang Arbroath. Hal ini menyebabkan beliau perlu berehat selama tiga bulan.
Robson kemudiannya mendedahkan meskipun Richard terpaksa berehat lama, kecederaan beliau tidak memerlukan pembedahan. Justeru, beliau kini fokus menjalani proses pemulihan dan menguatkan semula bahagian lutut.
“Richard tidak perlu menjalani pembedahan tetapi beliau perlu berkemungkinan perlu berehat antara lapan hingga 10 minggu. Ini membabitkan lututnya.
“Saya fikir salah satu ligamen yang hampir dengan bahagian krusiat jadi tegang, tiada kesan koyak di situ dan beliau tidak memerlukan pembedahan.
“Jadi, ini membabitkan pemulihan dan latihan kekuatan,” katanya seperti yang dilaporkan Fife Today.
Richard telah membuat 10 penampilan dan merekodkan satu gol bersama The Rovers sejak menyertai kelab itu secara perpindahan percuma pada Julai lalu.