Perak Menang Percuma Lawan Malaysian University
MakanBola
Perak FA

Perak FA diberi kemenangan percuma 3-0 ke atas Malaysian University FT (MUFT) oleh Amateur Football League (AFL).

Keputusan itu dibuat pengelola liga tersebut selepas Malaysian University gagal menyediakan padang pada tahap terbaik untuk aksi Liga A1 Semi-Pro antara kedua-dua pasukan itu pada 5 Oktober lalu.

Aksi Malaysian University dan Perak yang sepatutnya diadakan di Stadium MMU, Putrajaya dibatalkan kerana garisan padang yang belum siap.

Susulan itu, pengurusan Perak memaklumkan keputusan rasmi berhubung aksi yang dibatalkan itu akan diserahkan kepada AFL untuk tindakan seterusnya.

AFL kemudiannya menganugerahkan kemenangan percuma 3-0 buat pasukan dari utara tanah air itu. Selain itu, Malaysian University turut dikenakan denda RM10,000 dan amaran keras untuk tidak mengulangi kesilapan sama.

Pengurusan Perak kemudiannya menzahirkan rasa syukur atas keputusan yang dibuat AFL berhubung aksi berkenaan.

“Terima kasih kepada Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah AFL atas keputusan yang adil dan bijaksana.

“PAFA menghormati keputusan ini dengan penuh rendah hati, dan mengingatkan semua pemain agar tidak leka dengan kemenangan 3-0 ini.

“Fokus kita tetap pada usaha, disiplin dan persiapan terbaik untuk terus kekalkan momentum kemenangan dan siapsiaga menghadapi cabaran yang akan datang,” kata Presiden PAFA, Datuk Haji Mohd Azhar Jamaluddin.

Keputusan ini menyaksikan Perak terus menghambat tiga pasukan teratas Liga A1 Semi-Pro.