Isu membabitkan FAM, FIFA dan 7 pemain warisan Harimau Malaya mencuri tumpuan ramai namun di sebalik polemik ini, tidak wajar dilupakan sumbangan besar DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor dalam membina semula kepercayaan pemain berdarah campuran terhadap bola sepak Malaysia.
Antara kisah paling signifikan dalam usaha itu ialah bagaimana Tunku Ismail memainkan peranan penting dalam memujuk Dion Cools, pemain pertahanan kelab Cerezo Osaka dan bekas bintang bawah 21 tahun Belgium, untuk menyertai skuad kebangsaan Malaysia.
Ketika itu, Cools berada dalam dilema besar sama ada terus menanti peluang bersama Belgium atau membuka lembaran baharu bersama Malaysia. Namun, satu panggilan telefon daripada Tunku Ismail menjadi detik yang mengubah segalanya.
Dalam satu temu bual bersama FIFA bertarikh 3 Jun 2024, Cools mendedahkan bahawa Tunku Ismail sendiri telah menghubunginya dan menjelaskan visi untuk membangunkan semula skuad kebangsaan Malaysia yang ketika itu berada pada tahap paling mencabar.
“Tunku Mahkota Johor menghubungi saya dan menerangkan bahawa beliau sedang berusaha mengembalikan kegemilangan pasukan kebangsaan kerana ketika itu Malaysia berada di tahap yang agak sukar,” cerita Dion Cools kepada FIFA.
“Penjelasan itu benar-benar menarik perhatian saya dan meyakinkan saya. Ketika itulah saya membuat keputusan ya, saya mahu bermain untuk Malaysia,” tambah pemain kelahiran Sarawak itu.
Pendedahan itu membuktikan bahawa Tunku Ismail bukan sekadar pemerhati, tetapi individu yang memainkan peranan penting dari luar struktur rasmi FAM dan kerajaan dalam membangunkan semula bola sepak Malaysia. Melalui visi yang jelas, pendekatan profesional dan komitmen terhadap pembangunan jangka panjang, baginda berjaya membuka jalan untuk pemain bertaraf antarabangsa seperti Dion Cools menjadi sebahagian daripada projek kebangkitan Harimau Malaya.
Hasil pengaruh dan visi jangka panjang yang diterapkan oleh Tunku Ismail sejak memimpin Johor Darul Ta’zim (JDT), pemain seperti Cools mula melihat Malaysia sebagai destinasi bola sepak yang serius dan stabil. Fasiliti moden, sistem pengurusan profesional serta budaya disiplin tinggi yang diwujudkan di JDT membuka mata ramai pemain warisan lain bahawa projek bola sepak Malaysia kini berada di landasan yang betul.
Selain Cools, pendekatan ini turut menarik minat beberapa pemain lain seperti Darren Lok, Daniel Ting, Stuart Wilkin, Endrick dos Santos dan La’Vere Corbin-Ong yang akhirnya memilih untuk menyertai skuad kebangsaan. Namun, kisah Dion Cools kekal sebagai simbol kejayaan sebenar bagaimana pengaruh dan keyakinan peribadi Tunku Ismail mampu mengubah keputusan seorang pemain yang pernah hampir mewakili Belgium.
Ketika FAM kini sedang berusaha menghadapi proses rayuan terhadap keputusan FIFA, penting untuk penyokong memahami bahawa kejayaan dan pembaharuan dalam bola sepak negara tidak berlaku sekelip mata. Reformasi yang dimulakan oleh Tunku Ismail melalui projek JDT telah mencetuskan gelombang baharu yang kini memberi impak langsung kepada Harimau Malaya.
Apa yang diperlukan kini ialah kesatuan dan sokongan semua pihak daripada penyokong, pemain hingga ke pentadbir untuk mempertahankan maruah bola sepak Malaysia. Tunku Ismail telah membuka jalan kepada kebangkitan baharu Harimau Malaya, dan perjuangan ini perlu diteruskan bersama.