Perkembangan Terkini Rayuan FAM Ke CAS
MakanBola
FA MALAYSIA

Kemas kini kes rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) soal isu 7 tonggak warisan Harimau Malaya dikongsikan oleh Datuk Wira Yusoff Mahadi.

Umum mengetahui bahawa isu 7 pemain warisan, FAM dan FIFA kini sudah memasuki episod baru setelah badan induk bola sepak negara itu mahu membawa kes ini ke perhatian CAS.

Baru-baru ini, Datuk Wira Yusoff Mahadi mengesahkan bahawa permohonan rayuan FAM telah diterima oleh CAS dan kini pihaknya sedang menunggu perkembangan lanjut daripada badan berkenaan.

”Sekarang ini, saya boleh katakan memang laporan (rayuan FAM) tersebut dah sampai ke pihak CAS dan kita menunggu juga (keputusan),” ujar beliau ketika sesi sidang media pada Isnin lalu.

Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa pihaknya masih belum dapat memastikan tarikh persidangan CAS memandangkan segala keputusan berkaitan penetapan sidang bergantung sepenuhnya kepada badan berkenaan.

”Kita tak tahu bila CAS akan bersidang dan saya percaya kita baru selesai hantar (rayuan) pada 18 Disember itu, mungkin CAS akan mengambil masa sedikit untuk menerima kesemua dokumen.”

”Waktunya CAS nak bersidang itu bergantung kepada pihak CAS sendiri, saya tak boleh nyatakan bila tarikhnya.”