Perubahan jawatan dijangka berlaku dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas Datuk Wira Yusoff Mahadi memangku tugas sebagai presiden badan induk itu.
Selepas menggalas peranan sebagai Pemangku Presiden FAM, Yusoff perlu melepaskan beberapa jawatan. Ini termasuk jawatan sebagai Pengerusi Amateur Football League (AFL).
Kini, wartawan Astro Arena, Fina Nasrom melaporkan beberapa jawatankuasa FAM bakal menyaksikan perubahan membabitkan pengerusi jawatankuasa.
Selain pengerusi jawatankuasa FAM, perubahan juga akan berlaku membabitkan jawatan Pengerusi AFL. Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram dilapor bakal menggantikan Yusoff sebagai pengerusi liga berkenaan.
“Seiring dengan perlantikan Datuk Yusof Mahadi selaku Pemangku Presiden FAM. Difahamkan jawatan Pengerusi AFL bakal diambil alih Timbalan Presiden Datuk S. Sivasundram.
“Naib Presiden FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail akan memegang Jawatankuasa Futsal & Pertandingan dengan Jawatankuasa Pengadil bakal diambil alih Datuk Saaran Nadarajah,” katanya di X.
Sekiranya perubahan ini jadi kenyataan, ia dilihat sebahagian daripada usaha badan induk itu untuk memastikan perancangan untuk tahun 2025 berjalan lancar.
Yusoff menggalas tugas sebagai Pemangku Presiden FAM selepas penyandang sebelumnya, Datuk Mohd Joehari Ayub meletak jawatan baru-baru ini.
Beliau akan memikul tugas tersebut sehingga Kongres FAM yang seterusnya yang diadakan pada tahun hadapan.