Peter Cklamovski Bangga Persembahan Harimau Malaya
MakanBola
Malaysia NT

Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengakui bangga dengan persembahan yang dipamerkan anak buahnya dalam aksi menentang Palestin.

Malaysia mencipta kejutan dengan mengalahkan pasukan ke-98 dunia itu di Stadium Sultan Ibrahim (SSI). Joao Figueiredo muncul wira dengan mencetak gol tunggal perlawanan.

Meskipun diasak jentera serangan Singa Kanaan, benteng negara diketuai Shahrul Saad kental mempertahankan kelebihan 1-0 itu sehingga ke wisel penamat.

Cklamovski mengakui amat bangga dengan persembahan skuad negara terutama di bahagian pertahanan.

Ini kerana usaha keras yang ditampilkan semua pemain ketika bertahan memastikan skuad negara merekodkan aksi tanpa bolos buat kali ketiga dalam lima perlawanan.

“Kredit kepada semua pemain kerana kekal dengan pelan permainan, bermain bola sepak yang bagus dan mencipta peluang. Kita perlu perbaiki (aspek ini), kita mahu lebih banyak peluang dan lebih banyak gol tapi itulah bola sepak.

“Saya bangga dengan para pemain bila bertahan, kena kekal kuat pada minit akhir permainan menentang satu pasukan yang bagus. Mereka mengejar gol (penyamaan) dan (mengekang corak permainan mereka).

“Itulah masa kita kena lebih bekerja keras dan memenangi perlawanan, itu yang kita lakukan. Dan kredit kepada para pemain atas persembahan tersebut,” katanya selepas perlawanan.

Kemenangan ini melonjakkan Malaysia ke kedudukan ke-120 dunia berdasarkan ranking masa nyata FIFA.

Kemenangan ini juga turut menyuntik semangat skuad negara menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2027 yang bersambung pada Oktober ini.

Harimau Malaya dijadual bertemu Laos pada 9 Oktober di Vientiane. Ini disusuli aksi timbal balik di Malaysia pada 14 Oktober.