Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski mendedahkan pelan beliau untuk meningkatkan tahap pasukan itu ke tahap lebih tinggi.
Hal ini dinyatakan jurulatih Australia itu apabila ditanya apa aspek yang mahu diperbaiki beliau untuk skuad kebangsaan.
Cklamovski melihat terdapat banyak aspek yang boleh menyumbang kepada peningkatan kualiti Harimau Malaya.
Antara aspek yang beliau rasakan mampu memberi manfaat jangka panjang kepada skuad kebangsaan jika ditambah baik ialah pembangunan akar umbi.
“Terdapat banyak aspek bola sepak (Malaysia) yang kita boleh tambah baik. Skuad kebangsaan menunjukkan prestasi baik di atas padang.
“Boleh tak kita tambah baik (aspek) permainan di luar padang dan pembangunan akar umbi? Sudah tentu ya.
“Jika kita bercakap tentang cara membawa bola sepak lebih ke hadapan, ini akan membawa lebih banyak kemajuan kepada bola sepak di negara ini,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Sejak menggalas tugas sebagai jurulatih Harimau Malaya pada awal tahun 2025, beliau telah membantu pasukan itu kekal tanpa kalah sepanjang tahun.