Peter Cklamovski Dedah Sebab Malaysia Tidak Sertai CAFA Nations Cup
MakanBola
Malaysia NT

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski berkongsi sebab Malaysia mengambil keputusan untuk tidak terbang ke Tajikistan bagi menyertai CAFA Nations Cup 2025.

Menerusi kenyataan rasmi pada Rabu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa pasukan Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski tidak sertai CAFA Nations Cup.

”Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin memaklumkan bahawa skuad kebangsaan Malaysia tidak akan menyertai Piala Negara-Negara CAFA 2025,” umum badan induk itu.

Lantas, Peter Cklamovski dalam satu kenyataan yang sama menganggap keputusan untuk mengumpulkan pemain dan memastikan mereka bersedia untuk turun bermain adalah tidak realistik.

“Kita memiliki pemain yang beraksi di liga terkemuka dunia seperti Sepanyol, Argentina, Colombia & Jepun.”

“Untuk membawa mereka ke Tajikistan dalam masa yang singkat serta memastikan mereka bersedia beraksi pada tahap tertinggi adalah tidak realistik dalam jendela ini,” kata beliau.

Malah, bekas jurulatih FC Tokyo itu juga melihat isu logistik, pemulihan pemain dan faktor lain membabitkan perjalanan pasukan mempengaruhi keputusan Harimau Malaya untuk menarik diri ini.

“Selain itu, isu logistik, keperluan pemulihan pemain, serta implikasi terhadap bajet keseluruhan turut menjadi faktor penting.”

“Saya tidak mahu menjejaskan kebajikan dan kondisi pemain atau menyertai kejohanan dengan skuad yang tidak lengkap,” ulas Peter Cklamovski secara panjang lebar.

“Selain isu pelepasan pemain, cabaran lain seperti perjalanan jarak jauh, kekangan penerbangan terhad serta keperluan mematuhi peraturan FIFA yang menetapkan rehat minimum 72 jam antara perlawanan turut membawa kesukaran tersendiri.”